Ahad, 14 November 2010

Penilaian Dalam Konteks KBSR dan KBSM


1.0 Pendahuluan

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Petikan tersebut merupakan salah satu petikan yang diambil daripada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi salah satu panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia.Antara tujuan dan matlamat pendidikan ialah untuk melahirkan insan yang berilmu,berakhlak mulia dan bertanggungjawab.Hal ini meliputi aspek individu dan juga negara untuk menjadi seorang warganegara yang baik.Secara langsung,pendidikan merupakan salah satu saluran utama untuk menjayakan misi dan visi serta hasrat dan cita-cita negara.Tujuan pendidikan juga bukan sahaja untuk membangunkan dan mensejahterakan diri individu dan masyarakat malah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan,ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu,bertanggungjawab,berakhlak mulia,dan berbakti.
Namun,untuk menjayakan apa yang diinginkan memerlukan penilaian yang telah digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu penilaian dalam konteks KBSR dan KBSM sama ada penilaian berterusan ataupun penilaian pencapaian.Setiap sekolah dikehendaki menyediakan murid-muridnya untuk menduduki peperiksaan yang telah ditetapkan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Menurut Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran (1979), Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah dilaksanakan di semua sekolah rendah mulai tahun 1983. Selepas KBSR dilaksanakan,Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) turut dilaksanakan di sekolah-sekolah menengah mulai tahun 1989.Hal ini disebabkan oleh beberapa perubahan baru yang telah digubal dalam dunia pendidikan negara kita bagi memartabat institusi pendidikan seterusnya melahirkan tenaga kerja yang berkualiti.
KBSR merupakan satu bentuk yang berasaskan kepada Laporan Razak (1956), Ordinan Pelajaran (1957), Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran (1961) dan Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979).Pendidikan pada peringkat ini lebih menekankan kepada perkembangan menyeluruh dalam bidang intelek,rohani,dan jasmani sama ada secara langsung atau tidak langsung.Aktiviti pengajaran yang lebih ditekankan ialah melibatkan pelajar secara aktif bagi membolehkan pelajar mengemukakan idea dan perasaan,menyelesaikan masalah,bertukar-tukar pendapat serta dapat berfikir secara kreatif dan kritis.
KBSR dibentuk berdasarkan perakuan 57 (a) Laporan Jawatankuasa Kabinet iaitu kurikulum sekolah rendah hendaklah dirancang bagi membolehkan pelajar mencapai kemahiran dalam tiga asas iaitu bidang komunikasi, bidang manusia dan alam sekitar dan bidang perkembangan diri individu sesuai dengan keperluan, minat, bakat, dan kemampuan mental serta kesediaan pelajar (Laporan Jawatankuasa Kabinet,1979). Perakuan 2(a) Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran dalam Laporan (1979) menyatakan, “Kementerian Pelajaran mengambil langkah-langkah tertentu supaya pendidikan di peringkat rendah bercorak pendidikan asas dengan memberikan penegasan kepada pendidikan dalam membaca, menulis, dan mengira (3M)”.Hal ini bermakna,Kementerian Pelajaran Malaysia menekankan aspek 3M.
Komponen yang terdapat dalam KBSR ada tiga.Komponen yang pertama iaitu komunikasi yang menekankan kemahiran asas iaitu 3M,bahasa,dan matematik.Komponen yang kedua ialah manusia dan alam sekitar terdiri daripada kerohanian, nilai dan sikap, kemanusiaan dan alam sekitar, pendidikan agama Islam, pendidikan moral dan alam dan manusia.Komponen yang ketiga ialah perkembangan diri individu yang terdiri daripada kesenian dan rekreasi, muzik, pendidikan seni dan pendidikan jasmani, dan kesihatan.
Dalam KBSR merangkumi peringkat sekolah rendah yang terbahagi kepada dua tahap.Tahap pertama ialah daripada tahun satu hingga tahun tiga manakala tahap kedua daripada tahun empat hingga tahun enam.Mata pelajaran yang diajar di peringkat ini semua adalah mata pelajaran wajib yang dipelajari oleh semua pelajar.Nilai-nilai murni diajar melalui sistem pendidikan yang ditawarkan dalam mata pelajaran iaitu merentasi kurikulum. (Abdullah Sani, 2005: 174-175).
Selepas pelaksanaan KBSR di sekolah rendah,pelaksanaan KBSM juga dilaksanakan secara menyeluruh di semua sekolah menengah pada tahun 1989.KBSM juga lebih kurang kepada KBSR iaitu KBSM dibentuk berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979). Dalam Perakuan 58, Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) menyatakan “adalah diperakukan bahawa kurikulum peringkat menengah rendah hendaklah berupaya perkembangan daripada kurikulum sekolah rendah iaitu memperkukuhkan lagi pendidikan asas dan memperkenalkan pendidikan umum yang juga merangkumi aspek-aspek pendidikan pra vokasional (Laporan Jawatankuasa Kabinet,1979).
Tujuan KBSM di laksanakan di sekolah menengah adalah bagi memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh,seimbang,dan bersepadu yang meliputi aspek-aspek jasmani,emosi,rohani,dan intelek bagi melahirkan insan yang seimbang, harmoni, dan berakhlak mulia.KBSM dilaksanakan di peringkat sekolah menengah rendah iaitu tingkatan satu hingga tiga,iaitu mata pelajaran dibahagikan kepada mata pelajaran teras dan mata pelajaran tambahan . Mata pelajaran teras adalah wajib dipelajari oleh semua pelajar manakala mata pelajaran tambahan adalah subjek pilihan pelajar.Antara mata pelajaran tambahan ialah bahasa Arab,Cina,dan Tamil.
Kesimpulannya,KBSR dan KBSM digubalkan berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bagi melahirkan insan yang baik berdasarkan kepercayaan kepada tuhan. Namun demikian,penilaian prestasi sama ada penilaian pencapaian mahupun penilaian berterusan harus dilaksanakan bagi menentukan sejauh mana objektif-objektif pengajaran telah dicapai.Usaha daripada pihak guru mahupun sekolah bertanggungjawab dalam merancang, mentadbir, melapor dan mengambil tindakan susulan dengan segala hal yang berkaitan dengan penilaian prestasi pelajar .

2.0 Penilaian Berterusan
Penilaian dilakukan bagi mengesan perkembangan,kebolehan,kemajuan dan pencapaian pelajar bagi menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai,merancang dan membina instrumen penilaian. Penilaian yang dilakukan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ( FPK) iaitu dapat memastikan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani
Penilaian berterusan lebih bersifat formatif iaitu satu penilaian yang dibuat secara berterusan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran,guru akan menilai keberkesanan pengajarannya sama ada apa yang ingin disampaikan kepada pelajar dapat difahami oleh pelajar dalam setiap tajuk dengan membuat beberapa persoalan ataupun latihan contohnya sesi soal jawab dan latihan yang diberikan guru dan ujian di bilik darjah. Guru akan membuat diagnostik dari masa ke masa untuk mengesan perkembangan pelajar sama ada pelajar faham atau tidak apa yang diajari oleh gurunya.Hal ini akan memberi peluang kepada guru untuk memperbetulkan kesilapan dan memperbaiki kelemahan.Selain itu,guru dapat mengenal pasti kelemahan pelajar dan memperkembangkan lagi kekuatan potensi pelajar.
Ciri-ciri penilaian ini ialah penilaian formatif dijalankan bagi tujuan memperoleh maklumat bagi memperbaiki kurikulum.Penilaian ini juga dijalankan sepanjang masa dan maklumat yang diperolehi daripada penilaian ini akan digunakan secara berterusan.Penilaian ini juga bercorak ujian diagnostik iaitu dapat memberikan input yang bercorak masalah yang dihadapi murid dalam sesuatu pengajaran.Selain itu,ujian ini dijalankan sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran berlangsung.Maklumat yang diperolehi akan digunakan serta-merta dalam kelas bagi bagi memperbaiki pengajaran dan pembelajaran agar pelajar dan guru sama-sama memperolehi manfaat bersama .
Tujuan penilaian formatif ini dilakukan adalah untuk memperbaiki pengajaran pembelajaran terutamanya di dalam kelas bagi meningkatkan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu pelajaran.Seterusnya,kelemahan-kelemahan yang wujud akibat daripada pencapaian guru atau penguasaan murid akan dapat dilihat bagi memperbaiki penguasaan murid dengan lebih baik.Ini akan menolong murid-murid menguasai sesuatu topik pembelajaran seterusnya akan membantu pelajar mendapat keputusan yang cemerlang pada akhir penggal atau semester persekolahan.Apabila pelajar cemerlang dalam peperiksaan,kualiti pengajaran dan pembelajaran akan dapat dicapai.Hal ini akan menjadi kepada seseorang guru apabila beliau dapat meningkatkan pencapaian murid dari masa ke masa.Melalui pencapaian yang memuaskan,guru dapat menilai perbandingan yang dibuat antara pencapaian murid pada masa kini dan meramal pada masa akan datang.Sekiranya ramalan yang dilakukan oleh guru pada masa akan datang tidak memuaskan,guru akan bertindak mengubah suai pengajaran dengan mengambil pendekatan yang lebih baik dalam aspek penyampaian.Guru akan memberikan bimbingan pembelajaran kepada murid-murid dengan menjadikan murid sentiasa bersedia menghadapi ujian yang akan dilakukan oleh guru di akhir pengajaran.
Terdapat beberapa prosedur dalam penilaian formatif.Langkah pertama yang diambil oleh guru ialah menentukan topik pembelajaran.Guru akan merancang pengajaran sepanjang sesi persekolahan untuk satu jangka masa panjang iaitu satu tahun yang mengandungi beberapa topik yang seharusnya dihabiskan dalam jangka masa tersebut.Topik mata pelajaran yang akan diajar akan disusun mengikut peringkat kesukaran iaitu dari peringkat mudah,sederhana,dan susah.Sekiranya topik yang diajar mengandungi rangkuman yang luas,guru akan memberi penekanan kepada sub-topik yang penting sahaja.Guru akan membahagi-bahagikan mengikut aras kepentingan.Melalui cara ini guru akan memastikan murid-murid yang mempunyai aras kecerdasan yang berbeza dapat menguasai sub-topik tertentu terlebih dahulu sebelum meneruskan kepada topik-topik seterusnya.Sebelum meneruskan ke topik seterusnya,guru akan mengadakan ujian formatif untuk melihat penguasaan murid terhadap sesuatu topik.Guru akan menentukan kebolehan pelajar dalam mengenal warna,simbol,membaca,dan lain-lain mengikut sesuatu topik.Contohnya subjek Geografi,guru akan mengenal pasti kebolehan pelajar untuk mengenal simbol-simbol yang terdapat dalam peta.Setelah ujian dilakukan,sekiranya keputusan yang diperolehi menunjukkan 80% hingga 90% pelajar betul,hal ini bermakna bahawa kebanyakan pelajar sudah menguasai sesuatu topik.Langkah ketiga ialah menghubungkaitkan elemen-elemen yang terdapat dalam setiap topik.Guru akan menyusun elemen-elemen yang terdapat dalam topik-topik pembelajaran pada peringkat awal berdasarkan taksonomi pendidikan.Seterusnya,guru akan mengaitkan semua elemen berkenaan yang terdapat dalam sesuatu topik dengan topik yang lain agar saling berkaitan dan tidak terpesong jauh dengan topik yang lain.Langkah keempat ialah guru akan membentuk soalan ujian.Soalan ujian ini akan merangkumi setiap elemen yang berkenaan.Langkah yang terakhir ialah guru akan mencadangkan langkah susulan iaitu guru akan mengambil tindakan susulan berdasarkan keputusan yang diperolehi oleh pelajar dalam sesuatu ujian.Sekiranya para pelajar masih menunjukkan kelemahan yang ketara dalam sesuatu topik makan guru akan mengambil tindakan lanjutan dengan mengulang semula topik berkenaan atau mengubah suai teknik penyampaian agar murid-murid boleh menguasai topik tersebut.

3.0 Penilaian Pencapaian
Penilaian pencapaian lebih bersifat kepada penilaian sumatif.Penilaian sumatif ialah satu penilaian yang dibuat pada akhir pengajaran bertujuan untuk menilai pencapaian akhir pelajar.Hal ini berbeza dengan penilaian formatif yang lebih menumpukan kepada penilaian penguasaan pelajar dalam sesuatu tajuk, penilaian sumatif bertujuan untuk menentukan pencapaian pelajar pada akhir penggal persekolahan atau akhir tahun yang juga dapat menentukan keberkesanan sesuatu kurikulum. Penilaian ini memberikan nilai yang membezakan pencapaian seorang pelajar dengan pelajar lain dan seringkali digunakan untuk membuat pemilihan/ pengredan.Contoh penilaian pencapaian ialah UPSR,PMR,SPM,dan STPM.
Ciri-ciri penilaian ini ialah lebih menekankan kepada tahap penguasaan pelajar dalam satu-satu topik pembelajaran yang bertujuan untuk menentukan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu penggal persekolahan.Keputusan yang diperolehi oleh pelajar akan digunakan bagi menentukan keberkesanan sesuatu kurikulum secara keseluruhan.
Langkah-langkah membentuk ujian sumatif ialah membentuk jadual penentuan ujian yang mengandungi maklumat yang lengkap berkaitan objektif, bentuk item, jumlah item, tempoh penilaian, kandungan dan sebagainya. Hal ini bagi memastikan kesahan ujian yang bakal dilaksanakan dan kebolehpercayaan keputusan yang diperolehi.Langkah kedua ialah menggubal soalan-soalan yang berkaitan dengan isi dan perlakuan yang ingin diuji. Setiap item haruslah menguji objektif pelajaran yang telah ditetapkan.Langkah ketiga pula ialah mengumpul item secara sistematik. Contohnya,mengelompokkan item mengikut bentuk yang sama. Item objektif diasingkan dengan item mengisi tempat kosong, esei dan sebagainya. Item juga boleh disusun mengikut susunan topik atau mengikut aras kemahiran kognitif. Misalnya menyusun soalan bermula aras rendah diikuti aras lebih tinggi.Langkah keempat ialah membuat skema pemarkahan bagi tujuan penyemakan kertas ujian. Ini dapat mengelakkan berlakunya bias dalam pemberian markah murid-murid.Guru juga dapat menjadikan skema pemarkahan ini sebagai salah satu garis panduan untuk pemberian markah pelajar.Langkah kelima ialah menyediakan arahan yang jelas tentang apa yang seharusnya murid lakukan dalam menjawab setiap soalan yang dikemukakan.Langkah keenam juga menguji item tersebut terlebih dahulu melalui ujian rintis kepada sampel pelajar bagi memastikan ujian yang bakal dijalankan itu benar-benar sah dan boleh dipercayai serta dapat membaiki kelemahan-kelemahan yang wujud pada item berkenaan.Langkah terakhir ialah guru akan menganalisis item mengikut aras kesukaran,kesahan dan kebolehpercayaan berkenaan serta memastikan pilihan jawapan yang disediakan dapat berperanan dengan baik.
Penilaian ini bertujuan untuk membantu murid-murid secara individu dalam meningkatkan pencapaian.Selain itu, memberikan gred kepada murid-murid berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diadakan.Seterusnya, mengiktiraf kebolehan dan kemahiran yang dimiliki oleh pelajar. Ini berdasarkan skor yang diperolehi oleh pelajar dalam penilaian yang dijalankan.Kebiasaannya pelajar akan dinilai berdasarkan bilangan A yang diperolehi dalam sesuatu peperiksaan.

4.0 Kesimpulan

Aspek penilaian merupakan aspek penting yang harus dititikberatkan oleh semua pihak tidak kira guru,pelajar,sekolah,ibu bapa mahupun kementerian.Semua rancangan ini mengandungi misi dan visi tersendiri bagi mengangkat martabat pendidikan.Guru-guru merupakan watak utama yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan kurikulum sebagai perancang,penginterpretasi dan pemodifikasi.
Penilaian merupakan aspek terpenting kerana ia menentukan sama ada pelajar tersebut bersedia untuk mempelajari sesuatu kemahiran baru ataupun tidak.Penilaian yang dilakukan oleh guru ialah sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran melalui pemerhatian yang dibuat ke atas keadaan fizikal pelajar seperti penumpuan pelajar kepada guru.Sekiranya keadaan pelajar seolah-olah berminat dengan apa yang disampaikan oleh guru bermakna pelajar tersebut memahami apa yang diajari oleh gurunya dan sebaliknya.
Ibu bapa juga hendaklah memberikan maklum balas tentang kemajuan dan pencapaian anak-anak mereka dalam semua mata pelajaran dan juga dalam aspek sahsiah. Ibu bapa dapat mengambil tindakan sewajarnya seperti memberikan tumpuan menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen dengan harapan pencapaian anak-anak mereka akan meningkat
Selain itu, penilaian juga dapat memberikan maklumat yang jelas kepada pihak penggubal dasar, khususnya penggubal kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia, tentang kurikulum yang digunakan di sekolah-sekolah. Pihak Kementerian mendapat maklum balas yang tepat tentang pencapaian objektif sukatan pelajaran, sama ada telah dapat dicapai dengan jaya atau sebaliknya. Sekiranya maklum balas yang diperoleh tersebut menunjukkan terdapat kekurangan yang ketara dalam mencapai objektif tertentu, maka pengubahsuaian sukatan pelajaran serta pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dilakukan.
Melalui pelaksanaan penilaian dalam konteks KBSR dan KBSM di peringkat sekolah rendah dan menengah,kita dapat melihat terdapat beberapa implikasinya terhadap sistem pendidikan di negara kita.Terdapat beberapa implikasi terhadap pendidikan iaitu kurikulum di sekolah mengalami perubahan sukatan pelajaran yang berorientasikan kepada program bersepadu. Setiap sekolah menerima sukatan pelajaran yang sama dan selaras.Hal ini akan menunjukkan kepada dunia luar bahawa sistem pendidikan kita adalah selaras dan mampu menjadi contoh kepada negara lain.Hal ini seterusnya akan memudahkan negara untuk mencapai matlamat yang ingin dicapai iaitu menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan yang unggul.
Implikasi seterusnya pula ialah melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan,guru dapat memahami sistem pendidikan dengan lebih teratur.Hal ini akan membantu guru bagi merancang proses pengajaran dan pembelajarannya secara strategik kerana berdasarkan FPK semua mata pelajaran yang diajar adalah sama di semua sekolah.Terdapat garis panduan yang telah ditetapkan dan mesti dipatuhi oleh guru.Ini akan memudahkan guru untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab membantu merealisasikan matlamat dan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi 2020.Melalui penilaian yang dilakukan sama ada penilaian formatif ataupun sumatif akan melatih guru untuk bersikap bertanggungjawab bagi menjadi guru yang baik kerana guru akan sentiasa cuba berlatih dan mendapatkan apa yang telah dipelajari untuk memenuhi matlamat dan aspirasi falsafah ini. Pada masa yang sama guru bertindak sebagai pengawal kepada aktiviti negatif. Guru memperkembangkan dan memperkayakan pendidikan melalui perkembangan kurikulum bilik darjah, seperti, menjalankan aktiviti dan lembaran kerja yang diusahakan oleh guru.
Implikasi yang terakhir ialah setelah penilaian yang dilakukan secara berterusan ataupun secara pencapaian telah memberi kesan kepada institusi pendidikan.Pelbagai perubahan demi perubahan dilakukan bagi mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Kemudahan-kemudahan di sekolah diubah dan ditambah supaya pelajar mampu untuk merperkembangkan kemahiran mereka dari segi intelek,rohani,emosi dan jasmani. Ini adalah untuk melahirkan individu yang sempurna dan seimbang. Budaya di sekolah juga diubah untuk memupuk nilai-nilai murni di dalam diri pelajar supaya supaya saling bekerjasama, toleransi dan mengamalkan sikap perpaduan. Ini adalah matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan individu yang mampu untuk menyumbangkan keharmonian kepada negara. Suasana di sekolah juga diubah untuk melahirkan pelajar yang cintakan ilmu dan membentuk budaya membaca di kalangan mereka.

Rujukan
http://upu.mohe.gov.my/portal/arkib/fpk.php diakses pada 16 . September . 2010 pada 05.30 a.m
file:///E:/penilaian%20dalam%20konteks%20kbsr%20&%20kbsm/kbsr.htm diakses pada 16 . September . 2010 pada 05.50 a.m
http://www.slideshare.net/arthurjeo/2-pengurusan-dan-perkembangan-kurikulum diakses pada 16 . September . 2010 pada 09.04 a.m
http://pelangipetang89.blogspot.com/2010/03/implikasi-fpk-terhadap-sistem.html diakses pada 16 . September . 2010 pada 09.07 a.m

p/s : ni asgnment pengukuran & penilaian dalam pendidikan,,smoga ada manfaatnya. Ilmu ini milik Allah.

4 ulasan:

  1. TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI ILMU.SEMOGA HIDUP ANDA DIBERKATI ALLAH JUA.

    BalasPadam
  2. terima ksih atas perkongsian ilmu...

    BalasPadam
  3. thanks for this information..helped me a lot:)

    BalasPadam

Something Wrong With Me...Why?

...^ Sahabat Perjuangan ^...

Insya Allah i'll find my way.Destinasi cintaku yang terakhir

Daisypath Anniversary tickers

Best View